Payah nak dirungkaikan
Namun dipaksa juga
lidah yang berat
Agar kita bisa mengerti,
ironi merdeka sebenar.
Apalah ertinya merdeka
sekiranya kita asyik bertanya
tahun ini kali ke berapa?
Apakah nikmatnya kebebasan
kalau kita asyik
mengagungkan kebaratan?
Apalah maknanya perjuangan?
Jikalau kita gagal menebus
dan mengisi kembali
maruah kemerdekaan.
Apalah gunanya semangat?
Jika jati diri anak bangsa
luluh dimamah
kerakusan zaman.
Mampukah kemerdekaan ini berkekalan?
Harapan tinggi menggunung,
nyata dan luhur
Tapi mudah digoncang
akibat usaha yang kabur.
Usah persiakan
langkah pahlawan,
jangan perlekehkan
khazanah warisan.
Kerana ranjau kehidupan
pasti berliku
Tunduk kita jangan
pada pihak lawan
Walau terpaksa kita tangisi
setiap bibit penderitaan.
Lantas bertanya pada mata ku;
Inikah ertinya
sebuah kemerdekaan?
Andai diri penyebab kepincangan
Rela diserah nyawa sebagai taruhan
Kerana di sebalik kibaran Jalur Gemilang
Kain lusuh makna seribu
Jutaan nyawa telah terkorban.
Selamat hari kemerdekaan
No comments:
Post a Comment